Proton Saga facelift baru harga murah berpadanan spesifikasi
Proton Saga Facelift Terbaru
Pada kali ini rodahonda.com akan mengulas dan me-review sebuah kereta bertaraf nasional yang berada pada segmen A iaitu Proton Saga Facelift 2019. Untuk pengetahuan kita bersama ada sedikit informasi mengenai generasi Saga, sehingga kini Proton sebagai pengeluar kereta nasional negara telah melahirkan 3 generasi Saga bermula pada tahun 1985 Saga generasi pertama telah dilancarkan dan dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed. Bagi Proton juga Saga adalah bayi pertama mereka seta menjadi kebanggaan rakyat Malaysia apabila buat julung kalinya negara berjaya menghasilkan kereta nasional dan juga menjadi negara pertama di Asia Tenggara memiliki produk kereta sendiri.
Generasi kedua telah dilancarkan pada 2008 iaitu model Saga BLM di ikuti model facelift popular bagi generasi kedua ini dinamakan Saga FLX pada 2010. Kemudian pada tahun 2016 Saga generasi ketiga telah dilancarkan, sehingga kini Proton telah mencapai angka jualan sebanyak 2 juta unit bagi model Proton Saga sahaja di seluruh dunia. Tanpa membuang masa mari kita lihat apa perubahan dilakukan kepada Proton Saga facelift 2019 berbanding model sebelumnya adalah kereta segmen A termurah dan mampu milik bertaraf nasional dipasaran pada masa kini jika diambil kira dari sudut harga dan spesifikasi yang diberikan.
Proton Saga Facelift 2019 |
Dimensi
Dari bahagian hadapan dapat dilihat gril digunakan sama seperti Proton X70 dan Iriz berkonsepkan 'infinity wave', dibawahnya pula terdapat jalur kemasan krom menjalar dari sisi ke sisi yang lain menyerlahkan identiti Proton yang tidak terikut ikut trend terkini serta jenama lain dalam pemilihan gril. Lampu utama masih kekal sama seperti model facelift terdahulu tiada perubahan signifikan dilakukan, tetapi dibahagian bumper begitu menonjol dengan keseluruhan rupa reka bentuk baru yang lebih lebar dan luas dengan kombinasi warna hitam disesuaikan warna bodi terlihat lebih sporty dan elegan. Didatangkan juga dengan pernambahan lampu DRL (day time running light) pada kiri dan kanan bumper memberikan nilai-nilai elegan pada kereta Saga ini yang merupakan satu satunya kereta segmen A menggunakan teknologi ini. Pada Bahagian sisi pula perubahan di lakukan adalah pada rim didatangkan dengan design baru, mengunakan kombinasi warna perak dan hitam menyerlahkan lagi konsep sporty yang cuba diterapkan pada model facelift Saga 2019 ini tetapi tetap mengekalkan saiz rim dari model sebelumnya. Selain dari itu pernambahan begitu ketara adalah pada saiz cereka brek (brek disc) terlihat besar diambil daripada penampilan bergaya Proton Iriz selain memberi prestasi cengkaman ketika membrek yang baik ianya nampak lebih sporty.
Beralih ke bahagian belakang Saga Facelift 2019 kali ini terus mengekalkan nilai-nilai dan konsep lebih sporty dengan pembaharuan keseluruhan dilakukan pada bahagian bumper, dimana terlihat 'air vent' iaitu laluan udara seakan akan sirip ikan yu dikiri dan kanan bumper belakang diserlahkan pula dengan jalur krom mejalar panjang pada bahagian bawahnya. Pada bahagian atas bonet belakang juga didatangkan lip spoiler rendah supaya kelihatan mantap dan tinggi berbanding rupa facelift sebelum ini yang mendapat banyak kritikan berkenaan rupa bentuk belakang Proton Saga yang terlihat kurang gah. Kebiasaannya setiap kali perubahan facelift model akan berlakunya perubahan design lampu brek utama blakang, tetapi sebaliknya apabila design lampu brek belakang tiada sebarang perubahan dilakukan masih mengekalkan lampu dari model Facelift Saga sebelumnya.
Interior
Menyelusuri pada bahagian dalam atau ruang kabin Proton Saga Facelift 2019, pembaharuan yang dilakukan bermula dari meter baru yang digunakan lebih menampakkan ciri-ciri premium apabila panel meter cluster bagi Saga facelift kali ini dilengkapkan dengan ditengah antara meter had laju dan meter RPM terletaknya informasi digital berkenaan jumlah baki bahan api dalam tangki dan 'fuel consumption' jangkaan penggunaaan petrol bagi jarak kilometer. Bergerak kebahagian tengah dahsbord pandangan akan terus dibawa melihat kepada layar skrin sesentuh sebesar 7 inci merupakan sistem hiburan Saga yang membuat ia lebih megikut peredaran masa dan berteknologi canggih. Dengan menghubungkan smartphone android kepada monitor penguna dapat melayari internet sama seperti menggunakan smartphone selain dari mendengar muzik ataupun radio. Tidak hanya itu fungsi kemera pandang belakang juga melengkapi ciri-ciri ini untuk memberikan kemudahan pemandu ketika mahu parkir kereta, sedikit ke bawah terdapat kemasan tulisan 'PROTON' kecil bagi menampakkan identiti jenama pada kereta ini.
Di bahagian butang kawalan penghawa dingin masih lagi kelihatan 'low end' dan nampak murah kerana tiada sebarang kemasan krom bagi meyerlahkan gaya kemewahan, ini adalah disebabkan pihak Proton ingin mengurangkan kos untuk memberikan harga yang rendah ke dalam pasaran. Tempat duduk penumpang hadapan dan belakang juga sangat kemas, menggunakan fabrik seakan-akan seluar denim atau jeans berwarna kelabu sambil diperhalusi dengan corak kotak-kotak timbul ditengah tempat duduk menampakkan keseriusan Proton untuk memberi keselesaan kepada pengguna. Tombol gear juga mendapat sentuhan perubahan baru bila mana sekali imbas ia kelihatan seperti tombol gear yang pernah digunakan pada Proton Persona 2016, namun ianya sesuatu yang perlu diberi perhatian bagi memberikan Saga Facelift 2019 kelihatan premium. Di bahangian bumbung dalam hadapan kita melihat adanya Lampu bilik (LED room lamp) bagi ruang kabin untuk memudahkan pengguna menggunakannya ketika ingin mencari barang pada keadaan gelap atau waktu malam hari. Lampu ini juga tidak diletakkan seperti model sebelumnya iaitu ditengah tengah dalam bumbung, walaupun ianya adalah satu perubahan yang boleh dikatakan kecil tetapi tetap memberikan suasana dalam kabin terasa mewah dan selesa untuk dipandang.
Enjin
Prestasi enjin sesebuah kenderaan amatlah menjadi salah satu titik tolak terpenting apabila membuat pemilihan ketika ingin membeli kereta. Saga Facelift 2019 dijanakan dengan enjin berkapasiti 1.3 liter, 4 selinder, 16 Valve DOCH VVT yang menghasilkan 95 (HP) kuasa kuda dan 120 Nm Torque pada 4000 RPM dipadankan dengan transimisi 4 kelajuan automatik. Bercerita tentang transimisi, Proton telah menukarkannya dari CVT kepada 4 kelajuan automatik teknologi dari Hyundai, ini disebabkan begitu banyaknya 'feedback' kritikan daripada pengguna berkenaan CVT yang kurang responsif pada model facelift sebelumnya. Rumusan bagi bahagian ini adalah Saga sangat sesuai digunakan bagi kegunaan harian pada pemanduan bandar dan luar bandar, selain menjimatkan dari segi penggunaan bahan api berteknologi ECO ia juga mesra alam sekitar.
Ciri Keselamatan
Bagi ciri-ciri keselamatan tidak banyak penambahbaikan dilakukan, ketiga-tiga varian Saga Facelift 2019 dibekalkan sistem Anti-Lock Braking System (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Brake Assist (BA), dual ront SRS Airbags namun boleh dikatakan ianya adalah 'value for money' pada tanda harga yang diletakkan seimbang dengan teknologi yang didapatkan.
Harga
Dari sudut harga, Proton Saga Facelift 2019 didatangkan dengan tiga pilihan varian iaitu Standard Manual (RM 32,800.00), Standard Auto (RM 35,800.00) dan Premium AT (RM 39,800.00). Harga yang ditawarkan adalah tanpa insuran dan cukai jalan dan disertakan jaminan 5 tahun atau 150.000 kilometer yang mana terdahulu, tiga kali servis percuma juga ditawarkan kepada bakal-bakal pembeli.
Kesimpulannya kepada anda yang sedang tercari cari kereta dengan harga mampu milik dengan berkonsepkan rupa reka bentuk sporty dan kelihatan elegan dari pembaharuan serta penambahbaikan dilakukan Proton Saga Facelift 2019 adalah pilihan sesuai bagi semua peringkat umur bagi yang single mahupun sudah berkeluarga Saga adalah yang terbaik setakat ini. Melihatkan tanda harga ditawarkan dengan spesifikasi sederhana, Saga adalah sebuah kereta yang berada pada kelas segmen A termurah dipasaran. Tapi berbalik kepada pilihan kita "tepuk dada tanya selera" jika ianya sesuai dengan selera, kemahuan dan kemampuan anda tidak ragu-ragu lagi Saga Facelift 2019 adalah pilahannya. Sekian sahaja artikel ulasan berkenaan Proton Saga Facelift 2019 pada kali ini, diharapkan supaya dapat memberi informasi maklumat berguna kepada anda untuk membuat rujukan.